Anak Hafal Banyak Tapi Tak Faham Normal Ke?
- AUTISM GYM
- 5 days ago
- 2 min read

“Anak saya hafal ABC, nombor, malah boleh ulang dialog YouTube…
tapi bila tanya soalan mudah, dia tak faham.”
Situasi ini sering membuat ibu bapa keliru.
Dari luar, anak nampak bijak kerana mampu menghafal banyak perkara.
Tapi persoalannya .....
adakah hafal bermaksud benar-benar faham?
Dalam perkembangan kanak-kanak,
menghafal dan memahami adalah dua kemahiran yang berbeza.
Ada anak yang mempunyai memori sangat kuat.
Mereka boleh menyimpan bunyi, lagu,
susunan huruf atau ayat dengan cepat.
Tetapi memahami maksud,
menggunakan bahasa secara fleksibel dan
memberi respon mengikut situasi
memerlukan proses otak yang lebih kompleks.
Contohnya, anak boleh menyebut “A sampai Z” dengan lancar,
tetapi tidak dapat mengenal huruf bila ditunjukkan secara rawak.
Atau anak boleh mengulang ayat dari video,
tetapi tidak mampu menjawab soalan mudah seperti “nak makan apa?”
Ini menunjukkan bahawa bahasa yang digunakan
mungkin lebih kepada hafalan (rote memory),
bukan komunikasi yang benar-benar difahami.
Perkara ini juga boleh berlaku dalam bentuk echolalia
iaitu anak mengulang perkataan atau ayat
yang didengar tanpa memahami sepenuhnya maksudnya.
Kadang-kadang ia sebahagian daripada
proses perkembangan bahasa,
tetapi jika terlalu dominan dan tidak berkembang kepada
komunikasi dua hala, ibu bapa perlu mula memberi perhatian.
Perkara penting ialah melihat fungsi bahasa.
Adakah anak menggunakan perkataan untuk berinteraksi,
meminta, menjawab dan berkongsi?
Atau hanya mengulang apa yang pernah didengar?
Apa yang ibu bapa boleh buat?
Fokus bukan hanya pada hafalan akademik, tetapi pada pemahaman.
Banyakkan aktiviti soal jawab mudah,
permainan berpura-pura (pretend play) dan
komunikasi dua hala dalam situasi harian.
Gunakan bahasa yang berkait dengan
pengalaman sebenar supaya
anak belajar mengaitkan perkataan dengan makna.
Jika anak boleh menghafal banyak perkara
tetapi masih sukar memahami arahan,
menjawab soalan atau berkomunikasi secara bermakna,
membuat screening perkembangan bahasa boleh membantu
melihat gambaran yang lebih jelas.
Hafalan memang satu kekuatan.
Tetapi dalam perkembangan sebenar,
yang lebih penting bukan sekadar apa yang anak boleh ulang
tetapi sejauh mana mereka benar-benar memahami dunia di sebalik perkataan itu.




Comments