top of page

Kenapa Anak Suka Ulang Perkataan Yang Sama?


“Dia asyik ulang ayat yang sama…”

Tanya soalan lain, dia ulang balik apa yang kita cakap.


Tengok video sekali, terus ulang dialog berkali-kali.

Ramai ibu bapa tertanya, normal ke anak suka ulang perkataan macam ni?


Dalam perkembangan bahasa, mengulang perkataan atau

ayat dikenali sebagai echolalia.

Ia berlaku apabila anak mengulangi apa yang mereka dengar,

sama ada secara terus atau selepas beberapa ketika.


Pada peringkat awal perkembangan,

echolalia boleh menjadi sebahagian daripada proses belajar bahasa.

Anak sedang “menyimpan” bunyi dan struktur perkataan

sebelum mereka tahu cara menggunakannya sendiri.


Contohnya, anak mungkin ulang “nak susu?”

setiap kali mahu minum kerana itulah ayat yang selalu mereka dengar.

Ini menunjukkan mereka cuba menggunakan bahasa,

walaupun belum sepenuhnya memahami cara membina ayat sendiri.


Namun, perkara penting ialah melihat fungsi dan perkembangan echolalia itu.

Adakah anak menggunakan ayat yang diulang untuk berkomunikasi?

Adakah mereka mula memahami maksudnya?

Atau mereka hanya mengulang tanpa konteks dan sukar menjawab soalan mudah?


Ada anak yang sangat kuat menghafal bunyi dan dialog,

tetapi kurang memahami bahasa secara fleksibel.

Sebab itu mereka nampak “pandai bercakap”,

tetapi sebenarnya sukar berkomunikasi dua hala.


Selain itu, echolalia juga boleh menjadi cara anak memproses bahasa.

Sesetengah anak perlukan masa lebih lama untuk

memahami apa yang didengar,

jadi mereka mengulang perkataan sebagai cara untuk “berfikir”.


Apa yang ibu bapa boleh buat?

Jangan terus hentikan atau marah anak kerana mengulang.

Sebaliknya, bantu mereka memahami makna di sebalik perkataan tersebut.

Gunakan ayat pendek, jelas dan berkait dengan situasi sebenar.

Bila anak mengulang, cuba modelkan jawapan yang lebih sesuai.


Contohnya, jika anak ulang “nak makan?”,

ibu bapa boleh bantu dengan “adik nak makan”.

Ini membantu anak belajar cara menggunakan bahasa dengan lebih bermakna.


Jika anak terlalu banyak mengulang tetapi

sukar berkomunikasi secara spontan,

kurang memahami arahan atau kurang interaksi sosial, ibu bapa boleh mempertimbangkan untuk membuat screening perkembangan bahasa.


Mengulang perkataan bukan semestinya perkara buruk.

Kadang-kadang, itu adalah cara anak cuba belajar bahasa.

Tetapi penting untuk melihat sama ada bahasa itu sedang berkembang menjadi komunikasi sebenar, atau hanya kekal sebagai hafalan semata-mata.

 
 
 

Comments


bottom of page