top of page

Aktiviti Main Air Yang Bantu Perkembangan Anak





Bagi kanak-kanak, bermain air bukan sekadar aktiviti untuk seronok atau “buat sepah”. Sebenarnya, aktiviti main air memberi banyak manfaat besar kepada perkembangan sensori, motor, emosi dan komunikasi anak.


Sebab itu ramai terapi perkembangan menggunakan aktiviti air sebagai salah satu cara membantu anak belajar sambil bermain.


Apabila anak bermain air, sistem sensori mereka sedang dirangsang. Sentuhan air membantu otak belajar memproses sensasi dengan lebih baik. Ada anak yang menjadi lebih tenang bila bermain air kerana pergerakan dan tekanan air memberi kesan regulasi kepada badan mereka.


Selain itu, aktiviti main air juga membantu perkembangan motor halus dan koordinasi tangan. Aktiviti seperti menuang air, memicit span, menggunakan sudu atau memindahkan objek terapung membantu menguatkan tangan dan koordinasi mata-tangan anak.


Untuk perkembangan bahasa pula, main air memberi banyak peluang komunikasi secara semula jadi. Ibu bapa boleh gunakan perkataan mudah seperti “penuh”, “kosong”, “tuang”, “basah”, “sejuk” atau “besar kecil”. Bila bahasa digunakan dalam aktiviti yang menyeronokkan, anak lebih mudah memahami dan mengingatinya.


Aktiviti main air juga membantu anak belajar fokus, menyelesaikan masalah dan memahami konsep asas seperti banyak-sikit, berat-ringan dan sebab-akibat.

Tak perlu alat mahal pun. Kadang-kadang hanya guna baldi, cawan, span dan sudu di rumah sudah cukup untuk mencipta aktiviti perkembangan yang sangat baik.


Antara idea mudah yang ibu bapa boleh cuba:


• pindahkan air guna cawan atau sponge

• main “car wash” untuk kereta mainan

• cari objek terapung dan tenggelam

• siram pokok guna penyembur air kecil

• campur warna dalam air

• bermain buih sabun


Bagi anak yang aktif atau mudah overwhelmed, aktiviti air juga boleh membantu mereka menjadi lebih tenang dan teratur. Sebab itu ramai anak boleh bermain air lebih lama berbanding aktiviti biasa.


Namun, penting untuk pastikan aktiviti dilakukan dengan pengawasan dan ikut keselesaan anak. Ada sesetengah anak yang sensitif terhadap sensasi tertentu dan perlukan masa untuk menyesuaikan diri.


Yang paling penting, jangan terlalu fokus pada “hasil” atau pembelajaran formal. Fokus pada interaksi, pengalaman dan keseronokan bersama anak.


Kerana bagi seorang kanak-kanak, belajar tidak semestinya berlaku di meja dan buku. Kadang-kadang, melalui percikan air dan permainan paling sederhana — otak mereka sebenarnya sedang berkembang dengan sangat banyak.

 
 
 

Comments


bottom of page