Belajar Tapi Tak Melekat , Apa Yang Silap?
- AUTISM GYM
- 3 days ago
- 2 min read

“Dah ajar banyak kali… tapi esok lupa balik.”
Ramai ibu bapa rasa kecewa bila anak nampak belajar sesuatu,
tetapi tidak dapat menggunakannya semula.
Baru semalam kenal warna, hari ini keliru semula.
Baru belajar perkataan baru, lepas itu hilang.
Persoalannya
adakah anak tak fokus, atau
sebenarnya ada asas perkembangan yang belum kuat?
Dalam perkembangan kanak-kanak,
proses belajar bukan sekadar mendengar dan menghafal.
Untuk sesuatu kemahiran “melekat”,
anak perlu melalui beberapa proses penting
memberi perhatian, memahami, menyimpan maklumat dan
menggunakan semula maklumat tersebut.
Jika salah satu proses ini terganggu, pembelajaran jadi sukar untuk kekal.
Salah satu punca utama ialah fokus dan perhatian.
Ada anak yang nampak sedang belajar,
tetapi otak mereka sebenarnya
tidak benar-benar “menangkap” maklumat.
Bila perhatian mudah terganggu,
maklumat sukar disimpan dengan baik.
Selain itu, kefahaman bahasa (reseptif) juga memainkan peranan besar.
Anak mungkin menghafal jawapan atau
ikut contoh, tetapi tidak benar-benar faham konsep di sebalik apa yang diajar.
Sebab itu mereka sukar
menggunakan kemahiran tersebut dalam situasi berbeza.
Faktor lain seperti regulasi emosi dan sensori
juga boleh mempengaruhi pembelajaran.
Anak yang terlalu gelisah,
cepat penat atau mudah overwhelmed
akan menggunakan banyak tenaga untuk “mengawal diri”,
menyebabkan kurang ruang untuk menyimpan maklumat baru.
Kadang-kadang,
cara pembelajaran juga tidak sesuai dengan cara otak anak belajar.
Ada anak perlukan visual,
ada yang belajar melalui pergerakan dan
pengalaman sebenar, bukan hanya duduk dan mendengar.
Apa yang ibu bapa boleh buat?
Kurangkan tekanan untuk “cepat pandai”.
Fokus pada pengulangan dalam situasi harian.
Gunakan aktiviti bermain,
visual dan pengalaman sebenar
supaya pembelajaran lebih bermakna.
Pecahkan kemahiran kepada langkah kecil
dan beri masa untuk anak memproses.
Penting juga untuk melihat sama ada
kesukaran ini berlaku secara konsisten
dalam banyak aspek perkembangan.
Jika anak nampak sukar memahami,
mengingat dan menggunakan kemahiran baru mengikut usia,
mendapatkan pandangan profesional boleh membantu mengenal pasti puncanya.
Kadang-kadang, masalahnya bukan anak malas belajar.
Tetapi asas yang diperlukan untuk pembelajaran itu sendiri belum cukup kuat untuk membuat ilmu benar-benar “melekat”.




Comments