top of page

Perkembangan Motor Halus: Kenapa Penting Sebelum Anak Menulis






Ramai ibu bapa fokus pada bila anak boleh membaca atau menulis,

tetapi jarang sedar bahawa sebelum pensel

menyentuh kertas, ada satu asas besar yang perlu kuat terlebih dahulu,

kemahiran motor halus.


Motor halus merujuk kepada keupayaan

menggunakan otot kecil pada tangan dan jari dengan terkawal.

Kemahiran ini penting untuk aktiviti seperti memegang pensel,

menggunting, membutang baju, membuka bekas makanan dan mewarna.


Masalahnya, ramai terus mengajar anak menulis

walaupun asas tangan mereka belum cukup kuat.

Akibatnya, anak cepat penat, genggam pensel terlalu kuat,

tulisan sukar dikawal atau terus hilang minat untuk menulis.


Sebelum anak mampu menulis dengan baik,

mereka sebenarnya perlu membina beberapa kemahiran asas terlebih dahulu.


Antaranya ialah kekuatan tangan, koordinasi mata dan tangan,

kestabilan bahu serta kawalan jari.

Tanpa asas ini, menulis akan terasa sangat sukar untuk anak.


Contohnya, anak yang sukar membuka penutup botol,

memegang sudu dengan stabil atau menyusun objek kecil

mungkin masih sedang bergelut dengan kemahiran motor halus mereka.

Kadang-kadang ibu bapa nampak anak “malas menulis”,

sedangkan sebenarnya tangan mereka cepat letih dan belum bersedia.


Sebab itu aktiviti bermain jauh lebih penting pada

peringkat awal berbanding memaksa anak menyalin banyak tulisan.

Aktiviti seperti bermain playdough, menyepit objek kecil,

mengoyak kertas, memasukkan manik, mewarna dan

membina blok membantu menguatkan otot tangan secara semula jadi.


Selain tangan, postur badan juga memainkan peranan.

Anak perlu mempunyai kestabilan pada bahu dan

badan supaya tangan boleh bergerak dengan lebih terkawal ketika menulis.


Sebab itu aktiviti motor kasar seperti memanjat,

merangkak dan menolak barang berat ringan juga

membantu perkembangan motor halus.


Perkara penting ialah melihat sama ada anak

mengelak aktiviti yang melibatkan tangan, cepat frustrasi atau

terlalu sukar mengawal pensel mengikut usia.

Ini mungkin tanda bahawa mereka memerlukan lebih

banyak latihan asas sebelum fokus kepada tulisan.


Menulis bukan kemahiran yang muncul secara tiba-tiba.

Ia dibina daripada banyak asas kecil yang berkembang

sedikit demi sedikit melalui bermain dan pengalaman harian.


Kadang-kadang, bila anak susah menulis,

masalah sebenar bukan pada “belajar”.

Tetapi kerana tangan kecil mereka masih belum cukup kuat

untuk melakukan tugas besar itu.

 
 
 

Comments


bottom of page