top of page

Cara Main Yang Bantu Anak Cepat Belajar Bercakap



Ramai ibu bapa fikir untuk membantu anak bercakap,

mereka perlu membeli flash card,

aplikasi pembelajaran atau mengajar anak menyebut perkataan berulang kali.


Hakikatnya,

cara paling berkesan untuk merangsang bahasa anak ialah melalui bermain.


Kanak-kanak belajar bahasa dengan terbaik apabila mereka seronok,

terlibat dan mempunyai sebab untuk berkomunikasi.

Sebab itu sesi bermain sebenarnya adalah “kelas bahasa”

yang paling semula jadi untuk mereka.


Salah satu cara bermain yang sangat berkesan ialah

bermain secara berdepan (face-to-face play).

Duduk pada paras mata anak dan ikut minat mereka.


Jika anak bermain kereta, sertai permainan itu.

Sebut perkataan mudah seperti “kereta”, “jalan”, “laju” atau “boom”.

Apabila bahasa berkait dengan apa yang sedang anak lakukan,

mereka lebih mudah memahami dan mengingatinya.


Selain itu, gunakan teknik kurang bertanya, lebih bercerita.

Ramai ibu bapa terlalu banyak bertanya seperti

“ini apa?”, “warna apa?”, “mana bola?”.


Sebaliknya, cuba komen apa yang sedang berlaku.

Contohnya, “bola jatuh”, “abang lompat”, atau “wah, besar!”.

Ini memberi lebih banyak input bahasa tanpa memberi tekanan kepada anak.


Permainan giliran (turn-taking) juga sangat membantu.

Aktiviti mudah seperti bergolek bola,

susun blok atau main gelembung sabun

mengajar anak konsep komunikasi dua hala.

Anak belajar bahawa interaksi melibatkan

memberi respon dan menunggu giliran, sama seperti perbualan.


Bermain pretend play seperti masak-masak,

beri makan patung atau bermain doktor juga

sangat baik untuk perkembangan bahasa.


Melalui permainan imaginasi, anak belajar perkataan baru,

memahami fungsi objek dan membina kefahaman tentang dunia sekeliling.


Satu lagi perkara penting ialah beri ruang untuk anak bercakap.

Kadang-kadang kita terlalu cepat membantu

atau menjawab bagi pihak mereka.

Cuba tunggu beberapa saat selepas memberi peluang.

Walaupun anak hanya memberi bunyi atau satu perkataan,

itu adalah peluang untuk mereka berlatih komunikasi.


Yang paling penting, jangan fokus hanya pada

jumlah perkataan yang anak boleh sebut.

Fokus pada hubungan, interaksi dan keseronokan semasa bermain.


Kerana dalam dunia kanak-kanak, bahasa tidak berkembang

melalui tekanan atau paksaan.

Ia berkembang apabila anak merasa seronok,

difahami dan mempunyai sebab untuk berkomunikasi.


Kadang-kadang, sesi bermain 15 minit yang berkualiti

memberi lebih banyak manfaat kepada

perkembangan bahasa berbanding satu jam menghafal perkataan.

 
 
 

Comments


bottom of page